Membaca buku di ruang awam adalah baik. Kita tidak 'riyak' dan itu bukan definisi riyak. Riyak yang sebenar adalah pada amal ibadat seperti solat, sedekah, puasa. Itu pun ada ibadat yang 'harus' dizahirkan untuk tujuan-tujuan tertentu yang jelas maqasidnya.

Adapun urusan keduniaan selagi mana ia baik dan bermanfaat maka itu tidak dianggap riyak, namun yang terbaik adalah menetapkan niat yang ikhlas kenapa kita melakukannya kerana ia menatijahkan ganjaran pahala. Jika tidak ia tidak dihukum berdosa. Contohnya, berpakaian cantik ke majlis tanpa niat khusus kerana Allah tidaklah berdosa kerana ia berada dalam ranah adat. Walau bagaimanapun, jika penampilan tersebut diniatkan demi mencari keredaan-Nya, amalan keduniaan ini akan bertukar menjadi ibadah yang sarat dengan ganjaran.

قال أبو حامد الغزالي رحمه الله:

«‌تحسين ‌الثوب الذي يلبسه الإنسان عند الخروج إلى الناس: مراءاةٌ، وهو ليس بحرام؛ لأنه ليس رياء بالعبادة، بل بالدنيا.

وقس على هذا كلَّ ما تجمل للناس، وتزين لهم» انتهى من إحياء علوم الدين (3/ 300).

Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah (semoga Allah merahmatinya) berkata:

Memperelokkan pakaian yang dipakai oleh seseorang ketika keluar menemui orang ramai adalah sebahagian daripada mura'ah (menunjuk-nunjuk/mencari perhatian), namun ia bukanlah sesuatu yang haram. Ini kerana ia bukanlah riyak dalam urusan ibadah, sebaliknya "riyak" dalam urusan keduniaan.

Dan qiyaskanlah (analogikanlah) atas perkara ini bagi setiap sesuatu yang dilakukan untuk kelihatan elok dan berhias di hadapan orang ramai.

kitab Ihya' Ulumiddin (3/300).

Di Malaysia budaya membaca buku di ruang awam semisal dalam LRT masih belum menjadi budaya masyarakat. Namun, tidak membaca buku di ruang awam juga tidaklah semestinya dia tidak membaca mungkin faktornya keselesaan dan kesesuaian masa.

Saya pula suka berusaha membaca buku dan 'menunjukkan' qudwah yang baik. Banyak buku saya tamatkan ketika musafir. Saya tidak takut pada apa orang kata kerana saya tahu niat saya dan memang saya sedang enjoy membaca.

Antara qudwah yang kita boleh lalukan adalah kita boleh mempamerkan akhlak yang baik dengan memberikan tempat duduk kepada yang lebih memerlukan dan menyambung membaca buku sambil berdiri selain daripada menunjukkan bahawa aku tidak ketagih scrolling media sosial dan melawan perasaan untuk memberikan fokus pada membangun ilmu dan akal.

Biar kita kelihatan orang yang sedang fokus pada membangun ilmu dan intelektual kita dan pada masa yang sama dapat mempamerkan akhlak dan budi yang baik secara natural. Biar masyarakat lihat bahawa orang yang membaca buku membawa mesej baik dan nilai dalam diri mereka sehingga mereka juga terfikir sesuatu dan mahu melalukan perkara yang sama.

Soal orang memujimu atau tidak, jangan fokuskan pada itu. Lawan bisikan dan jangan berhenti zahirkan berbuat baik kerana takut dikata orang. Biasakan sampai ia jadi sebati dalam diri. Sebati sampai kita tidak lagi rasa apa-apa yang janggal. Kita adalah kita. Kita buat untuk membangun diri, akal dan fikiran. Menghargai masa dan memanfaatkan sebaiknya dengan membaca.

Hidupkan budaya baik itu walau anda bersendirian. You are not an influencer... you are a thought leader.