Baba mengharapkan, kesempatan bingkisan ini ditulis adalah atas izin Allah yang juga memberikan hidayah dan taufik.
Duhai Anakku,
Jika satu masa nanti baba telah tiada, ingatlah pesanan ini.
Jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun. Jangan ambil risiko akan hal-hal berkaitan yang boleh mendekatkan mu dengan kesyirikan.
Kuatkan hati, iman dan taqwa mu dengan mendirikan solat. Bukan melaksanakan solat sahaja, tapi dirikan solat itu dengan penuh rasa kemuliaan. Anak lelaki solatnya mesti berusaha di masjid. Jangan tinggal masjid. Masjid adalaj rumah Allah. Rumah yang menurunkan segala rahmat dan kebaikan. Solat adalah perkara besar. Ia adalah perjuagan sangat besar selama kita bergelar muslim dan mukmin.
Jangan meremehkannya, terus belajar memperbaiki. Dengan solat kita akan berjaya walaupun tidak dilihat berjaya oleh mata-mata dunia. Solatlah yang membentuk peribadi dan hidup kita. Namun ramai diluar sana yang mengabaikannya. Peganglah nasihat ini kuat-kuat duhai anakku.
Sayangi dan hormati umi. Jagalah hati umi penuh rasa kasih jiwa dan raga. Umilah yang telah berusaha payah menjaga mu selama ini. Pengorbanan umi tidak boleh dibayar oleh apa-apa pun. Baba juga terhutang budi dengan kebaikan umi. Doa umilah yang akan mengiringi langkah mu sepanjang didunia ini. Jika ditaqdirkan Allah kamu pergi dulu, umi akan mendoakan kesejahteraan kita dialam sana.
Duhai Anakku.
Baba hanya mahu kamu jadi hamba Allah yang sejati. Hatinya basah sentiasa takut pada Allah. Tawaduknya juga dibuat kerana Allah. Kamu berjaya didunia ini atau pun tidak. Kaya atau miskin, baba tidak peduli. Tidak sedikit pun akan mengurangkan kasih dan sayang baba pada kamu. Rezeki telah ditetapkan Allah. Kamu berusaha sahaja apa yang kamu mampu. Serahkan urusan rezeki pada Allah. Dialah yang akan mencukupkan mu dan paling penting dapat mententeramkan hati mu untuk tidak gelisah. Itulah nikmat yang ramai orang abaikan. Mengejar dunia hingga mengabaikan ketenangan hati. Malah tidak pernah merasai nikmat rasa qana'ah.
Namun jika kamu dipilih Allah untuk menjadi seseorang yang dikenali dan memegang amanah besar seperti ketua dan pemimpin. Lakukanlah yang terbaik. Jadikan taqwa sebagai bekalan. Janganlah sesekali kalah dengan badai ombak yang akan sentiasa mengujimu nanti. Kamu harus kuat dan mintalah selalu pertolongan Allah agar Allah memperkukuhkan langkahmu.
Doakan baba jika baba pergi dulu. Jadilah anak soleh. Anak yang mendoakan baba. Baba akan sentiasa merindui mu. Cita-cita besar baba bukan ingin membina istana dan mahligai didunia ini, namun diakhirat sanalah sebaik-baik tempat untuk kita bertemu semula nanti. Percaya dan yakinlah anakku bahawa baba sangat mencintai pertemuan semula ini nanti.
Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah. Moga Allah yang maha mengetahui apa yang ada dalam dada ini mengabulkannya. Semoga kita bertemu kembali namun sekali lagi baba berpesan.
"Janganlah sesekali kamu mati melainkan kamu seorang Muslim"
Ini perjuangan kita bersama.
Moga Allah jadi saksi cinta ini.
Ayahanda mu,
Mohd Danial