Masa akan menentukan
Ada satu perkara yang saya rasa ramai juga yang lalui tapi mungkin hanya memendam rasa. Tidak tahu cara nak berkongsi.
Ada pelajaran baik yang saya pernah belajar dalam hidup ini. Jangan cerita masalah kezaliman yang berlaku ke atas diri kita pada ramai orang. Tak semua orang baik itu akan mendengar dengan baik, dan tak semua yang mendengar dengan baik itu akan kekal baik.
Yang lebih perit,
Tak semua yang kita nampak baik itu sebenarnya hatinya baik.
Jika mampu diam (jika tidak beri mudarat) itu lebih baik. Sabar, istighfar dan doa.
Jika boleh diundur masa, saya mahu lebih banyak tahan diri dari berkongsi kerana rupanya perkongsian yang kita niat hanya untuk meluahkan rasa dan mengingatkan boleh disalah erti bahkan ada yang menunding jari kembali kepada kita.
Ini berlaku bukan pada orang asing, tetapi berlaku melalui orang yang kita percaya baik dan ada ilmu. Tetapi bila kita bercerita sesuatu perkara yang dimata mereka seperti tidak betul atau mungkin kurang tepat, mereka boleh membuat andaian berdasarkan pemerhatian yang tidak cermat.
Begitu lah, nama sahaja manusia, ada nafsu dan dosa. Kawan rapat atau sesiapa sahaja, malah ahli keluarga. Kita tidak akan disokong sepenuhnya apatah lagi dalam keadaan jika ditimbang kita lagi lemah dari sudut ilmu, wang dan jawatan.
Ramai juga bila memberi hukum akan hanya melihat zahir menurut apa yang ada dalam benak pemikiran mereka sahaja. Kaya dilihat "berjaya" serta "femes" itu biasa akan dilihat benar.
Manusia selalunya susah membuat penilaian yang 'insaf'. Mereka masih ada nafsu untuk cenderung pada manis dan kepentingan dunia. Tetapi, apakah salah seseorang cenderung pada 'kepentingan' dunia? Tidak semestinya.
Siapa yang hidup tanpa ada kepentingan peribadi?
Manusia perlu hidup dan orang yang baik sekalipun biasanya akan 'ter'cenderung mencari-cari sesuatu yang boleh memenangkan dirinya untuk mendapat habuan dan pada ketika ini manusia di atas nama dan gelaran apa pun boleh tersilap dalam membuat pertimbangan ketika menilai mana yang buruk, baik atau lebih baik.
Pernah kah kita terlihat kawan kita bersama penzalim yang pernah menzalimi kita walhal dia telah mengetahuinya?
Ingat!
Tahu tidak semestinya membuatkan dia empathy dan tahu tidak semestinya mampu membuatkan dia kekal ingat dan kekal 'sokong' kita. Ini lah perasan sakit yang kita kena hadap bila dah tercerita. Seakan apa yang kita luah selama ini tidak didengari dan lebih sakit lagi seakan kita menipu.
Namun, untuk mententeramkan diri, kita pujuk diri dengan berkata, kawan kita tu manusia. Ada pasang surut imannya. Apa yang lebih penting, tugas kita mengingatkan dan mempercayainya sebagai kawan telah kita tunaikan. Selebihnya, biar masa sahaja menentukan.
Manusia biasa akan lebih belajar dengan melaluinya sendiri. Iaitu pengalaman.
Susah juga untuk menghukum seseorang. Lupa atau sengaja lupa atau memang 'jahat'. Ini sangat sukar dinilai. Bukan tugas kita. Tahan. Sabar. Senyum dan terus berjalan. That's life. Masa akan menentukan. Jangan sehingga terlupa pada diri sendiri.
Sebab itulah sejak dari mendapat pelajaran ini, saya juga rasa 'takut' untuk dengar masalah kawan-kawan yang mengadu.
Satu, takut terlupa yang kita pernah dengar masalah dia dan buat kita lupa nak berlaku adil dan insaf.
Dua, bimbang dia nampak macam kita masih berbaik dengan "musuh" nya itu. Walhal dia dah 'ingatkan'.
Tiga, bimbang dia ingat kita 'khianat' dia walhal kita hanya dengar dan tidak masuk campur.
Empat, bimbang kita dianggap talam dua muka. Hanya mencari kepentingan dan habuan dunia.
Ini lah ujian berukhuwwah.
Akhir sekali, kita hanya boleh serah dan adu pada Allah. Dia mengetahui segalanya bahkan apa yang tersirat disebalik semua ini. Mesti kuat dan terus jalan. Kita boleh bersedih dan menangis, biar air mata itu memberikan sedikit kerehatan pada jiwa.
Namun jangan lama ia bakal memudaratkan.
Kena istighfar dan taubat. Sebab kita juga manusia. Ada nafsu dan dosa. Kita semampu mungkin lawan bisikan syaitan agar tidak bersangka buruk bahkan bersangka-sangka. Maafkan mereka dan terus jalan lagi.
Begitu lah ranjau hidup berkawan dengan yang bernama manusia.
Ada yang diawalnya kawan berakhir dengan lawan,
Ada yang diawalnya 'lawan' berakhir dengan kawan.
Kita akan dapat pahala di akhirat berdasarkan niat kita berkawan hanya kerana Allah.
Semoga dengan taufiq Allah dapat memandu kita menjadi hamba Allah, kawan yang baik dan terbaik.
Wahai yang bernama kawan yang sedang membaca tulisan ini, maafkan saya dan ketahuilah saya berusaha menyayangi mu hanya kerana Allah. Ameen.